Friday, June 18, 2010

Lu'Lu' Wal Marjan 16/6

Seperti biasa.. Kami mulakan pagi kami dengan solat subuh berjemaah dan bacaan mathurat. Selepas bersarapan, kami bergerak ke kelas tahfiz. Balik dari kelas tahfiz, kami bergotong-royong untuk memerap ayam untuk aktiviti BBQ malam ini. Biasa untuk lelaki bujang seperti kami, kerja-kerja dapur bukan kepakaran kami, jadi kerja yang dibuat lintang-pukang dan lambat. Alhamdulillah.. kami diberi petunjuk oleh Allah tentang resepi ayam melalui perantaraan Puan Zaini, jika tidak sudah tentu ayam tersebut menjadi julap kepada kami semua. Ini kerana, kami merancangkan untuk meletakkan 12 labu bawang putih ke dalam resepi kerana menyangkakan ia bermaksud 12 biji. Selepas memerap ayam, kami bergerak ke masjid untuk solat zohor berjemaah.
Seterusnya, kami berehat dan menunggu waktu petang menjelang. Selepas asar, kami mula untuk menyalakan arang. Tiba-tiba dalam keghairahan bermain api, rahmat Allah turun bersama hujan, sehinggakan kami terpaksa menghijrahkan tong BBQ ke bawah rumah. Di bawah rumah, kerja untuk menyalakan arang semakin mudah apabila mendapat bantuan angin dari kipas. Bila mula terasa hangat bara, kami memulakan sesi membakar ayam. Sesi pertama kelihatan seperti gagal apabila bara dari arang tidak dapat dikawal dan ayam mudah menjadi hangit. Alhamdulillah.. rasa ayam tidak teruk seperti luarannya, jadi kami meneruskan membakar ayam untuk sesi yang berikutnya sehingga maghrib. Ayam masih banyak yang belum masak tetapi kami menangguhkannya kerana tiada yang lebih penting dari seruan Ilahi, kami pon bergerak ke masjid. Selepas solat, kami meneruskan semula kerja membakar ayam sehingga isyak. Selepas selesai membakar, kami mengagih-ngagihkan ayam-ayam tersebut untuk diberi kepada ikhwah-ikhwah di sekitar. Habis menghantar makanan, barulah kami menjamukan diri serta tetamu yang hadir.
Selepas makan-makan, kami diberi sedikit pengisian dari Pak Teh mengenai serangan minda dari orang kafir. Apa yang kami sedar dari sini ialah
1) walaupon orang kafir mempunyai banyak platfom dan bergaduh sesama sendiri tetapi mereka bersatupadu dalam menghancurkan umat Islam.
2) sebab orang yahudi terlalu dengkikan umat islam ialah kerana mereka menyangkakan bahawa rasul yang terakhir akan turun dari kalangan mereka. Akan tetapi rasul telah turun dikalangan orang arab.
3) Walaupon jemaah di Malaysia mempunyai banyak platfom akan tetapi semuanya menyeru pada Allah. Jadi seharusnya kita mampu untuk bersatupadu
4) Selagi tidak ada seorang khalifah dimuka bumi ini untuk mentadbir umat islam, selagi itu umat islam menanggung dosa kerana tidak bersatupadu seperti yang diperitahkan oleh Allah dan rasulnya. Oleh itu, sedarlah wahai umat akan tanggungjawab berdakwah.

lu'lu' wal Marjan 14/6

Kami sampai ke Perlis pada jam 3 pagi lebih. Kami berniat untuk berpuasa pada siang hari jadi kami singgah bersahur di Burger Cafe. Alhamdulillah.. Allah mengurniakan kekenyangan pada kami dengan makanan ala western tersebut. Seterusnya kami meneruskan perjalanan kami ke masjid Alwi Kangar untuk berehat dan subuh disana.
Sesampai kami ke rumah, kami meneruskan semula sesi berehat kami. Subhanallah.. kami tersangatlah letih pada hari ini sehinggakan kami terlajak tidur dan terponteng kelas tahfiz. Aduss.. agak terkilan sedikit dihati dan risau jika ditanyakan Abang Rais dan syeikh-syeikh di kelas tahfiz tentang kejadian ponteng ini.
Seterusnya kami memenuhi waktu riadah kami dengan berkereta ke empangan Tasoh. Kami tadabbur alam, memancing, serta bergambar disana. Sebelum balik, kami diberi sedikit pengisian oleh syiekh IzwanSyah.
Untuk aktiviti malam, kami ada pengisian di pejabat JIM. Pengisian ini diberi oleh Ustaz Wazin yang bertajuk 10 Muasofat iaitu mengenai :

1. Aqidah yang sejahtera
2. Ibadah yang sejahtera
3. Akhlak yang teguh
4. Berpengetahuan
5. Jasad yang kuat
6. Mampu berdikari
7. Menjaga masa
8. Bermanfaat
9. Berjihad untuk diri
10. Tersusun dalam urusan

Banyak pengajaran yang kami dapat dari Ustaz Wazin, terumatamanya perkara-perkara tentang tarbiyyah.
Terima Kaseh.. Ustaz

lu'lu' wal Marjan 10/6

Macam biasa.. rutin harian. tetapi hari ini selepas balik dari kelas tahfiz, kami singgah ke Hafifah baru untuk memulangkan buku. Namun abang Saif tiada di kedai, jadi kami pulang ke Gua. Seterusnya, kami diberi sedikit taklimat tentang aktiviti minggu terakhir ini dan pengisian kitab tauhid " kita hidup di lautan udara " oleh abang Pali.

Kita hidup di lautan udara
terlalu banyak hikmah dari udara, antaranya:
1) oksigen dan karbon dioksida dalam sistem pernafasan.
2) kegunaan angin untuk menggerakkan kapal.
3) kuantiti udara tidak akan habis.
4) proses pendebungaan dan proses keseimbangan
5) pertahanan dari meteor dan tahi bintang
hikmah diatas jelas menerangkan tentang kekuasaan dan penciptaan Allah Yang Maha Bijaksana.

Aktiviti kami diteruskan pada jam 3 iaitu potong dan mencabut rumput di rumah abang Rais. Huh.. Penat sungguh berkerja namun masih tidak siap juga kerja dirumah Abang Rais. Kami terpaksa tangguh kerja kami dan bersiap sedia untuk ke majlis makan-makan dan berkhatan makcik Su. Menu berbuka puasa kami di rumah makcik Su ialah sup gearbox, bihun sup, puding, tembikai dan air sirap. Fuh.. Kenyang teramatlah sangat, dan kami bersyukur sangat diatas kekenyangan dan limpah kurnia-Nya.

Pada malamnya, kami usrah bersama group usrah abang Zuki dan membincangkan tentang Wasilah Tarbiyyah. Dari sini, kami semakin jelas bahawasanya jalan usrah adalah jalan dakwah terbaik kerana ia melengkapi dari semua aspek dakwah.


Dari AmRi

Lu'lu' wal Marjan (2/6)

Seperti biasa kami akan menghadiri kelas tahfiz dan datang agak lambat.Selepas habis tahfiz,kami pulang semula ke gua iaitu rumah kami.Izwan dan Luqman pergi kedai gunting rambut.Mereka terpaksa pergi ke kangar disebabkan kedai gunting di Arau tutup.Mereka bukan sahaja pergi gunting rambut tapi pergi The Store untuk membeli keperluan asas untuk masak seperti gula.Sementara itu,Amri,Salam,Asra dan Abang Pali sibuk menyiapkan makanan di rumah.Salam akan jadi sebagai ketua masak manakala yang lain akan membantu dia.Selepas siap semua makanan,kami semua makan berjemaah dalam dulang.Sungguh meriah makan dalam dulang dan di tambah dengan lawak yang dilakukan Salam dan Izwan.Sebelah petang pula,kami solat zohor berjemaah di masjid dan selepas solat Izwan,Asro dan Luqman tertidur di dalam masjid sehingga  Abang Pali pergi mengejut kami di masjid.Pengisian sebelah petang akan diberikan oleh Warden kami sendiri iaitu Abang Pali.Pengisian kali ini tentang Anas Bin Malik(Unais).Beliau merupakan antara orang yang akrab dengan Rasulullah S.A.W. Rasulullah doakan Anas Bin Malik akan harta dan anaknya.Seterusnya tentang Usamah Bn Zaid.Beliau merupakan seorang panglima yang muda.Ada satu ayat yang membuatkan kami berfikir iaitu "Do not judge a book by it cover".Dalam pukul 6.00petang,kami pergi ke rumah Tuan Wan Muda kerana ada majlis makan-makan di sana.Di sana kami jumpa dengan menantu Tuan Wan Muda iaitu Abang Syakir.Beliau baru pulang dari United Kingdom dan mengambil jurusan kejuruteraan.Pada masa itu, ada seorang hamba Allah yang telah terjatuhkan segelas cawan dan pecah.Selepas selesai makan,kami beransur dan kali ini kami dapat pinjam satu kereta baru yang dikenali sebagai "Unser".Keretanya milik Tuan Wan Muda yang sudah lama tidak digunakan.Salam membawa kereta itu pergi ke Arau untuk mengisi angin tayar kereta dan Alhamdulilah,minyak keretanya masih berkeadaan penuh manakala yang lain naik kereta Avanza.Selepas itu,kami menuju ke Denai Larian.Pada 4,5,6 dan 7 haribulan enam,akan diadakan satu program iaitu dinamakan Program TAMU.Kami di minta untuk menjadi fasilitator.Sebelah malamnya pula,kami solat berjemaah di Masjid Sultan Syed Sirajuddin.Selepas itu kami mencari kain di kangar dan terus pergi ke rumah Doktor Q kerana ada perjumpaan dan taklimat tentang program TAMU bersama dengan bakal Kem Komander TAMU iaitu Rahim.Dalam pukul 11 malam kami pergi ke 7Eleven untuk membeli sedikit makanan ringan untuk lapik perut iaitu roti,air soya dan air 100Plus.Sampai sahaja di rumah,kami membuka semua makanan dan makan tapi rugi sebab air 100Plus tidak habis kerana ada sesetengah antara kami yang sudah tidur awal.

Thursday, June 17, 2010

Lu'lu wal Marjan (8/6)

Selesai sudah program TAMU. Pagi ini  kami bangun dalam keadaan yang sungguh letih. Sisa-sisa keletihan semalam masih menguasai diri kami. Hari ini pula aktivitinya berbeza sedikit, sebab sebahagian daripada kami ditugaskan untuk menjaga kedai buku di Jabatan Pendaftaran. Mereka yang terpilih ialah Luqman, Amri, dan Abg Fazdy sementara yang lain terus berjuang menghafal di maahad tahfiz. Habis sudah kelas tahfiz kami bergegas pulang. Akibat terlalu letih kami semua tertidur. Maklumlah keringat kami telah dimaksimakan ketika program TAMU yang lalu.
Selepas makan tengahari kami hantar abang Hanif untuk jaga kedai buku. Manakala Izwan dan Salam menerima arahan daripada abang Zuki untuk membuat power point tajuk tauhid fasal 1 dan 2. Tanpa melengahkan masa kami pun menyiapkannya tanpa banyak alasan. Petang itu mereka yang ditugaskan menjaga kedai pun balik walaupun nampak keletihan di wajah mereka tetapi pulangan untuk jualan hari ini agak  memberangsangkan sekitar rm900 lebih. Kami memenuhi masa lapang kami dengan bermain bola keranjang. Pasukan ana(Izwan) yang diaggotai oleh Salam dan Asro tewas tipis kepada pasukan yang diterajui oleh Luqman,Amri,Hanif dan abang Fadzy. Kami tewas 6-7. Bukan kemenangan yang dicari tetapi semangat ukhwah diantara kami.
Malam itu selepas solat magrib kami sepakat hantar abang Hanif ke stesen bus. Sahabat kami itu ingin pulang ke halamanya. Sebelum itu abang Hanif sempat belanja kami makan di Radix Chicken House. Murah rezeki malam itu. Abang Raiz pun ada sekali. Lagi 10 minit sebelum bus bergerak, kami menemani abang hanis hingga ke stesen bus. Sempat pula bergambar dan bersalam-salaman. Rasa sebak di hati kami tetapi kami perlu membenarkannya. Kepada abang Hanif terima kasih atas sumbangan dan perkongsian ilmu sepanjang berkampung dengan kami. Jazakallah....

Monday, June 14, 2010

Lu'lu' wal Marjan (3/6)


Aktiviti hari ini
Hari ini, Izwan, Luqman dan Salam berpuasa sunat hari Khamis. Dapatlah jimatkan bajet sedikit. Yang lain, mereka kurang mendapat kekuatan untuk menunaikan ibadah tersebut. Selepas kelas tahfiz, kami pergi ke Kangar mencari barang keperluan ke TAMU7 antaranya chess, kain merah, dan barang-barang lain. Tapi apa yang menarik ialah, kami dikenakan saman RM10 kerana kesalahan park kereta. Sedangkan kami telah pon membayar 60sen untuk parking. Mungkin ini satu ujian dari Allah, maka kami hadapinya dengan hati yang sabar. Sampai sahaja dirumah, Asra dan Salam keluar atas urusan mereka. Sementara Am, Luq, dan Izwan memotong kain merah untuk kegunaan TAMU nanti. Menjadi dugaan pada rakan yang berpuasa apabila bibik datang menghantar nasi goreng daging untuk makan tengahari. "Sedap laa nasi ni" kata Amri kepada kami yang berpuasa.

Untuk pengisian petang, kami disampaikan tentang hadith " tidak beriman salah seorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya seperti diri sendiri" oleh Abang Pali. Antara pengajaran yang jelas ialah kepentingan menjaga ukhuwah dan jangan tersalah tafsir hadis kerana ia boleh membawa kepada kesesatan.
Pada malamnya, kami berbuka puasa secara beramai-ramai walaupun ada yang tidak berpuasa pon. Antara tetamu khas ialah Pak Teh, Ustz Zul, Pak Cik Shukri dan ramai lagi ( tak ingat sebenarnya ). Selepas itu kami solat secara berjemaah didalam gua dan menyambung sedikit hafalan sehingga tidur.

Lu'lu' wal Marjan (31/5)

Pagi - Kembalinya kami dari Thailand, kami jalani semula rutin harian kami seperti biasa iaitu menyambung kembali sesi pengajian di Maahad disebelah pagi. Namun begitu, hafalan pada hari ini kurang peningkatan akibat daripada letih dan mengantuk yang melampau. Akan tetapi badan kami mula segar kembali apabila mulanya sesi kelas tajwid. Kami menjalani kelas itu dengan penuh girang dan ketawa kerana kegusaran belajar hak-hak dan sifat huruf. Setiap daripada kami terpaksa mengulang bacaan beberapa kali kerana kesalahan sebutan makhraj huruf.

Petang - Dalam perjalanan pulang ke Gua, kami singgah ke C-Mart untuk membeli keperluan-keperluan dapur. Sungguh murah rezeki kami pada hari ini, kerana kemurahan hati abang Pali untuk membelanja kami roti. Sampainya kami dirumah, kami mengagihkan kerja kepada dua iaitu memasak dan membasuh. Selesai segala kerja, kami makan tengah hari dan solat zohor. Ruangan waktu antara Zohor dan Asar kami diisi dengan pengisian kitab tauhid fasa 6 ( air yang terapung ) yang disampaikan oleh warden terhormat kami Abang Pali. Banyak input - input penting yang kami dapat dari pengisian tersebut. Seterusnya, kami solat asar di masjid dan basuh kereta. Kemudiannya, Asra dan Salam menaiki kereta ke Kangar untuk mengambil tetamu jemputan dari KL iaitu Abang Uwais dan Abang Arizam

Malam - Selepas berbuke puasa dan solat berjemaah, kami solat hajat bersama - sama sempena peristiwa pengeboman kapal bantuan ke Gaza. Pengisian malam ini disampaikan oleh Abang Arizam dari UTM Skudai tentang kepentingan akidah. Pengisian yang penuh bermakna buat kami kerana dia mampu membuatkan kami berfikir tentang kekuasaan Allah yang sudah ternyata di dalam Al-Quran.

Lu'lu' wal Marjan (1/6)

1/6/2010
Seperti hari-hari sebelumnya, waktu pagi kami di maahad tahfiz. Dalam perjalanan kami bertungkus-lumus mengingati hafalan masing- masing takut nanti ustaz marak pulak sebab tidak tasmi'. Alhamdulillah...jam 10.30 waktu kelas tamat sebelum balik kami singgah di pasaraya hafifah. Tujuan asal mahu mengambil buku untuk jualan kami tetapi atas masalah yang tidak dapat dielakkan kami pun pulang. Tetapi kami tidak pulang dengan tangan kosong, salah seorang anak usrah, amri membeli sebekas ais-krim untuk dikongsi bersama. Terima kasih Amri. Sampai di rumah kami terus membahagikan tugasan ada yang ditugaskan memasak dan membasuh kereta.
Hanya Salam dan Luqman sahaja yang memasak yang selebihnya membasuh kereta. Kami turut dibantu oleh ketua kami iaitu abang Paddy.

Aktiviti petang disambung dengan slot kepentingan akidah bersama pelajar maktab. Antara topik yang ditekankan adalah amal jasad,amal hati dan amal akal. Dalam pengisian tersebut ada satu penyataan yang menarik minat kami iaitu menurut seorang saudara baru beliau mengatakan bahawa "tidak perlu melihat kehebatan Allah S.W.T atas sesuatu yang pelik"-Jeffry Lang.  Selepas solat Asar berjemaah kami ke rumah En. Kamarulzaman untuk taklimat program TAMU.

Selepas solat Insya kami disajikan dengan pengisian oleh abang Qash yang dijemput khas dari Selangor. Beliau berusia 23 tahun dan menuntut di Universiti Teknologi Malaysia. Tajuk pengisian beliau ialah Manhaj Hidup Muslim karangan Syed Qutb.

Tuesday, June 8, 2010

Jaulah ke Thailand, hari ketiga (30/5)

Bismillah kami melangkah




Thursday, June 3, 2010

Jaulah ke Thailand, hari kedua (29/5)

Bismillah kami melangkah 29/5

Hari baru menjengah, saat subuh mampir, kami terbangun kedinginan, menggagahkan diri untuk solat berjemaah. Kami bersyukur dinihari ini ruh masih di jasad, mengenangkan nasib pejuang di Palestina yang malamnya getir, pula esoknya sudah hilang nyawa. Kami masih leka, jauh dari keseriusan beramal dan bekerja, hari muda kami biarkan hanyut dan kami suap nafsu muda kami dengan pelbagai hiburan dan aktiviti ringan yang melekakan. Ber'facebook', ber'dota', ber'ym', ber'gtalk', lepak-lepak dan banyak lagi. Semuanya sampah yang kami layan dan separuh nilai jiwa kami hanya sekadar bersandar pada harga sampah. Ampunkan kami ya Allah, kami mohon agar jiwa ini kembali disiram dengan ketaqwaan dan ketaatan kepadamu...

Mentari pagi menyimbah memberi peringatan buat kami. Peringatan bahawa Allahlah pemilik alam, dialah yang menyingkap siang dan menyelubungi malam. Peringatan bahawa mentari beredar dan bersamanya terheretlah waktu maka kami harus juga terus bergerak dan menyambung kerja dakwah kami. Kami sudahkan urusan di Ban Sang Kha Ou, sebelum pulang kami singgah dahulu ke rumah Tok Niban atau ketua kampung mereka, tujuannya adalah untuk mengucapkan terima kasih juga menyampaikan harapan ustaz Wahab agar kami yang dibahasakan sebagai anak-anaknya disambut dengan hati terbuka bila kami datang kembali pada peluang yang akan datang. Kami seterusnya bergerak ke Ban Narai bagi melawat komuniti Orang Laut di sana dengan ditemani oleh saudara Sulaiman dan juga bapanya Yahya.

Di sepanjang perjalanan pulang keluar dari Ban Sang Kha Ou kami diperlihatkan oleht Allah suatu norma kehidupan manusia bahawa tiada apa yang mustahil bagiNya. Di sepanjang pesisir pantai inilah tsunami datang menyebat bumi dan meragut nyawa manusia. Allah perlihatkan bahawa Dialah yang mengawal lautan, Dialah yang memberi makan kepada manusia dengan hasil laut yang tidak putus-putus. Dia memberi rezeki kepada semua manusia tanpa ada sekatan kerana perbezaan aqidah mereka. Allah tetap memberi kerana Dialah yang Maha Pemurah sifatNya. Tetapi Allah tarik hidayah dari diri mereka, Allah hilangkan cahaya keimanan dari diri mereka sehingga anak cucu menjadi syirik kepada Allah, menyembah berhala-berhala dan mengikut agama yang sesat. Atas sebab apa Allah boleh tarik hidayah dari sesebuah kaum? Kenapa hal yang demikian boleh berlaku? Atas kelalaian dan salah siapa? Lalu di perkampungan ini Allah curahkan sifat Ar-RahmanNya, tetapi tidak sifat Ar-RahimNya kerana di sini tiada yang mengenali Dia yang sudah sekian lama mencurahkan kasih sayang dan membelai diri mereka dan anak cucu dengan segala kemudahan dan nikmat alam. Apa yang ada di depan mata kami adalah bukti, yang membenarkan bahawa Allah juga berkuasa memilih siapa yang mahu dikasihiNya.




Sebelum keluar dari kepulauan Koh Lanta, Krabi ini, kami singgah ke rumah seorang lagi Tok Niban bagi komuniti Orang Laut di Ban Narai.Kampung ini tidak jauh dari Ban Sang Kha Ou cuma kami rasakan perjalanan agak lama kerana disapa angin baru. Ban Narai agak membangun, oleh kerana kedudukannya yang dekat dengan persimpangan utama dan juga merupakan kawasan penempatan yang agak besar bagi kepulauan itu. Di sini terdapat banyak perumahan dan juga chalet-chalet yang dibangunkan di atas tanah
persendirian. Corak perubahan sosioekonomi yang sama juga dapat diperhatikan disini. Tanah asal merupakan milik komuniti Orang Laut Ban Narai akan tetapi pemaju-pemaju chalet membeli tanah mereka untuk tujuan pembangunan dan penempatan baru. Lama-kelamaan  kedudukan perkampungan mereka semakin bergerak ke pinggiran walaupun pada kadar yang lebih perlahan jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur atau Pulau Pinang. Pembangunan meminggirkan mereka yang tak punya pilihan, atau pun diberi pilihan yang tidak dapat mereka nafikan. Status pendapatan dan kewangan merupakan faktor utama mereka beralih dari kawasan penempatan asal kerana ia dibeli oleh mereka yang punya kuasa dan wang. Tawaran yang jarang-jarang datang dan dalam keadaan mereka memerlukan.

 Ziarah ke Ban Narai tidak dapat diserikan dengan pertemuan dan bermesra dengan penduduk-penduduk Ban Narai kerana kami hanya mempunyai masa yang terhad kerana selepas ini kami perlu bergegas ke Phuket pula. Tok Niban ini sudah lanjut usia walaupun tidak persis langsung wajahnya dengan usia yang sudah menjangkau 80 tahun. Lagak duduk dan riak muka langsung tak kalah dengan gaya atuk-atuk yang duduk di kerusi malas sepertinya di Malaysia bila tiba petang. Rumahnya baru kerana baru mendapat pampasan dari chalet besar yang dibina di tapak asal rumahnya. Beliau masih kenal Ustaz Wahab melalui ziarah yang terdahulu, cuma pada awal-awal bicara agak berat mulut orang tua ini nak berkongsi cerita. Beliau faham apa yang kami cakapkan tetapi enggan membalas dalam bahasa Malaysia menyebabkan kami cuma termanggu-manggu bila pertanyaan kami dijawab dalam bahasa Siam. Saudara Sulaiman yang turut datang sebagai penunjuk jalan dan penterjemah kami cuba membantu tetapi mereka pula yang rancak berbual dalam bahasa Siam sedang kami yang pada awalnya bertanya terhangguk-hangguk mahu nampak seperti faham. Selepas seketika baru ada terjemahan dari saudara Sulaiman tetapi beliau sendiri pun bersusah payah hendak menerangkan apa yang rancak sangat dibualkan mereka. Cuma ada satu sesi di mana hasil perbualan itu sangat menikam jiwa.



Kata saudara Sulaiman Tok Niban ini suatu ketika dulu pernah bersahabat dengan seorang ustaz yang datang menjalinkan ukhuwah dan juga dalam masa yang sama menyampaikan dakwah. Alhamdulillah pada ketika itu beliau tergerak hati untuk menerima Islam, anak-anak beliau pada waktu itu juga turut menerima Islam mengikut jejak langkah bapanya. Namun setelah beberapa lama sahabat beliau telah berpindah ke tempat lain dan semenjak dari itu tiada lagi ziarah dari sahabatnya. Dalam masa yang sama beliau dalam berada dalam keadaan yang serba salah kerana tidak dapat berkumpul dengan saudara mara lain yang hadir ketika majlis keramaian dan keraian kampung. Beliau menjauhkan diri kerana tidak mahu terlibat meminum arak dan majlis tari menari yang menjadi kebiasaan dan adat majlis-majlis mereka. Sudahnya dia rasa terpinggir dari ahli keluarga dan dalam keadaan iman yang rapuh kerana ditinggalkan sahabat baiknya, lalu dia kembali kepada ajaran asal. Sudah tidak lagi menyembah Allah dan solat, tetapi tetap juga hati beliau dari memeluk agama lain. Beliau tetap keras tidak mahu menerima Buddha atau Kristian. Hanya Islam sahajalah yang pernah menambat hatinya tetapi sayang ia tidak mampu dikekalkan. Keislaman beliau berakhir dengan kemurtadan.

Jaulah ke Thailand, hari pertama [sambungan]


Perjalanan ke jeti disambung kembali setelah kami selesai berhenti solat dan rehat di Masjid Kg Lembah Air Bukit. Tiket feri dibeli sebaik tiba di jeti pertama oleh Salam dengan menggunakan bahasa isyarat. Memang sejak tiba di Dannok lagi komunikasi menjadi satu isu yang besar memandangkan kami langsung tak tahu bercakap sepatah pun bahasa Thai. Malah mengira pun kami tak reti sebab jaulah ini tak termasuk dalam perancangan awal kami, kalau tak awal-awal lagi kami dah hafal perkataan Thai yang menentukan hidup mati kami seperti "mana tandas?", "berapa Baht?".

Tiket berharga 228 Baht iaitu lebih kurang RM 22 untuk 2 feri perjalanan sehala ke Koh Lanta. Kami mengambil peluang keluar mengambil angin kerana persekitaran disini amat bersih dan tidak tercemar seperti udara di perairan Pulau Pinang. Pohon bakau menjadi pemecah ombak semulajadi dan dalam masa yang sama menjadi suatu ekosistem yang tersendiri kerana ia mampu menyokong pelbagai jenis hidupan liar. Inilah keistimewaan Thailand yang menjadikan ia suatu negara pilihan utama pelancongan di Asia. Sesuatu yang amat sukar untuk ditandingi Malaysia.

Setibanya kami di Koh Lanta destinasi pertama kami, mula ternampak sekumpulan peniaga makanan beragama Islam yang membuka gerai di tepi jeti. Hati mula berbaur dengan perasaan gembira, hiba dan gementar kerana disinilah kami akan betul-betul dilatih dan difahamkan dengan dakwah, sesuatu yang terasa amat jauh dari hati dan tidak pernah pula terdetik dalam hati kami sejauh ini kami mengembara untuk menyambung kembali kalimah tauhid. Di sinilah kami akan menjadi seseorang yang tertanya-tanya kedunguan, "siapa aku mahu menyampaikan kalimah tauhid yang suci?", "apa aku sudah kenal akan Allah?", "di mana dakwah, di mana Allah dalam hati kami sendiri?" semua soalan-soalan yang mungkin terdetik terus menghantui kami yang jahil ini. Selama ini kami masih lagi diulit leka dan dosa tapi hari ini kami dipilih Allah untuk menyertai usaha dakwah. Rasa malu yang amat sangat.

Perjalanan diteruskan dan kami pun tiba ke destinasi. Kereta kami parking di kawasan 'Saladan Pier Lanta Krabi' yang menyediakan feri laju ke beberapa pulau lain di sekitar perairan tersebut. Sebaik tiba Ustaz Wahab terus menyapa seorang kenalan beliau, orang Chow Ley atau orang laut yang pernah dilawatinya lama dahulu. Meskipun kami terus gusar akan layanan dan reaksi yang akan kami terima tapi ustaz Wahab langsung tak terkesan dengan pandangan sinis dan tak peduli orang-orang Chow Ley seolah-olah kami tak wujud dihadapan mereka.

Pesan ustaz Wahab, kita ini berdakwah bukan semata-mata mahu orang mendengar dan orang taat, tetapi harus dimulai dengan persahabatan yang akrab serta saling memahami kemudian barulah usaha dakwah itu menjadi cantik dan dapat diterima, dan walaupun mereka menolak, tidak menjadi masalah bagi kita kerana masih boleh kekal bersahabat. Kita masih lagi boleh menumpukan usaha dakwah kepada ahli keluarga mereka, sahabat handai, dan juga saudara mara. Sebab itulah kata ustaz Wahab persahabatan itu penting. Malah pada kami persahabatan itu pun sudah cukup bagus dalam menghidupkan suasana harmoni, apatah lagi sekiranya dakwah dapat disampaikan. Langsung mereka dapat jadi saudara seagama.

Selepas sedikit sarapan pagi dan teh panas, kami mula bergerak masuk ke kawasan penempatan orang Chow Ley. Kami menjadi sedikit tergumam melihat suasana rumah dan kejiranan mereka. Gambaran seperti ini bukan sesuatu yang asing dalam kemodenan dan capaian internet akan tetapi seperti dapat melihat bulan di depan mata sudah tentu tak tergambarkan dengan kata-kata. Kami masih cuba memproses maklumat bahawa apa yang ada di hadapan kami adalah realiti dan yang tinggal di dalamnya adalah manusia, sama seperti kami. Kata ustaz Wahab dalam banyak-banyak perkampungan orang laut, di sini merupakan destinasi kegemaran pelancong. Rupanya pelancong asing gemar bersimpati, gemar melihat sendiri bayangan kehidupan seperti dalam cerita 'Slumdog Millionnaire' versi Chow Ley Thai. Dakwah tidak sampai di sini walaupun ia sepatutnya dengan mudah boleh sampai. Ini kerana masyarakat Islam itu sendiri menyisih mereka dan enggan pergi kepada mereka dan menyampaikan dakwah. Sedang dari segi ekonomi dan pendidikan, mereka tersisih jauh sekali dan kehidupan mereka tiada orientasi lain melainkan seorang ibu melahirkan anak, bapa menyara keluarga, dan zuriat itu nanti akan mengulang perkara yang sama tanpa ada misi yang lainnya.






Rumah pertama yang kami tuju (sebelumnya singgah di beberapa rumah lain, tapi yang ini salamnya berjawab) kami berjumpa dengan seorang Chow Ley veteran menggelarkan diri sebagai Ma' Di In. Usia atuk ni dah menjangkau 79 tahun tapi tiada tanda-tanda keuzuran yang ketara melainkan rupa yang sudah dimakan usia namun masih gagah dan masih boleh berdiri tegap. Kalah ustaz Wahab bisik kami dalam hati. Untuk memendekkan cerita kami hanya kisahkan beberapa isi penting sahaja sewaktu kami di sini. Yang pertama melibatkan soal jawab yang berlaku antara kami dan penduduk di sana, respons paling banyak kami terima adalah dari atuk Di In itu sendiri dan juga dari seorang akak dalam lingkungan umur 40an. Kami tanya mereka kalau ada mayat, apa yang akan dibuat kepada mayat tersebut, jawab atuk Di In, "kami tak tunu macam Siam, kami tanam mayat mereka". Jawapan itu memberi klu kepada kami bahawa mereka masih lagi ada rasa kasihan belas pada mayat dan serba sedikit menampakkan ada budaya Islam yang masih dipegang mereka walaupun datuknya Ma' Di In itu asalnya dari Langkawi dan sudah hampir 180 tahun dipisahkan masa.


Masyarakat Islam di sekitar sudah tidak menganggap mereka sebagai saudara atau mad'u sehingga berlaku pengasingan sosial. Interaksi utama yang wujud antara mereka dan masyarakat hanyalah melalui aktiviti jual beli hasil laut. Selain daripada itu aktiviti lain tidak memberikan kesan yang kami fikir begitu ketara. Cuma bila hari sudah petang kami mula nampak kelibat anak muda baru pulang dari pekan, mungkin mereka bekerja di sana. Namun itu tidak banyak merubah keadaan komuniti ini terutamanya mengenai soal dakwah Islamiah. Soalan yang seterusnya ditanya ialah "Siapa tuhan kita?" "Ke mana kita pergi bila sudah mati?" "Kepada siapa kita mohon rezeki?" "Apa hakikat kejadian?". Semua itu ditanya secara berturut-turut dan beliau menjawab dengan bersahaja, apabila kami berkata Allah tuhan kita, beliau turut sama menyahut bersetuju. Jawab beliau lagi kita akan pergi bertemu tuhan apabila mati, dan setiap kali ke laut dan bubu dilabuhkan serta pukat ditebar, mereka akan meminta pada tuhan yang mereka rujuk kepada Allah. Hakikat kejadian pula diulas dengan ringkas, anak cucu, diri mereka serta isi lautan itu tuhan yang ciptakan. Dalam diri mereka kata ustaz Wahab, malah dalam diri setiap manusia ada aqidah, ada keyakinan untuk bertuhan. Itulah fitrah yang ada dalam diri yang tinggal untuk digilap dan dicanai seperti yang dilakukan Rasulullah kepada penduduk Mekah yang tak terkecuali mengakui keesaan Allah, akan tetapi kufur.


Penduduk di sini tidak terkecuali dari menjadi penyembah berhala, di tengah-tengah kampung ada pondok yang elok binaannya berbeza dengan rumah-rumah penduduk di sini. Kami sekali lagi diberi penerangan oleh atuk Di In patung trio sebesar kanak-kanak itu merupakan dewa mereka, kalau bukan sekalipun ia tetap tak lari dari definisi itu. Yang tengah dan yang paling besar mereka panggil To' Balieu yang berasal dari perkataan Tok Wali. Apit kiri patung itu ialah Siti Hawa, sebelah kanan pula To' Adam. Berselirat aqidah mereka, entah yang mana betul atau tidak, mereka tiada pegangan dan kitab panduan agama, yang ada hanyalah warisan-warisan yang ditinggalkan nenek moyang yang bercampur aduk antara Islam, Buddha dan Kristian. Di hujung gigi air pula kami nampak pula 3 tanda salib di pancang menghadap ke laut. Sahlah aqidah mereka ini berselirat.


Air sudah mula pasang paras lutut dan pesan seorang mak cik, kalau lambat nanti tak dapat keluar dari kampung itu, tidak dapat keluar dalam keadaan kering maksudnya. Jadi kami pun bersegera, terngiang-ngiang lagi kata-kata seorang mak cik tu yang cakap anaknya dihantar untuk dilatih menjadi sami. Dia direkrut oleh sami yang datang ke perkampungan itu dan bila sudah selesai latihan dia akan pulang semula dan menjadi penyebar agama Buddha pula. Kami tinggalkan To' Balieu pada tengah hari itu tanpa buah tangan tetapi dengan hati yang rawan.


Kami sambung perjalanan menuju ke Ban Sang Kha Ou, suatu kawasan di balik sana kepulauan Koh Lanta, perjalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Sebelum tiba kami singgah dulu dirumah kenalan ustaz Wahab iaitu en. Sulaiman. Adiknya merupakan bekas penuntut Yala Islamic University, Thailand. Sdr Sulaiman ni sedang mengusahakan sebuah sekolah Islam yang masih dalam proses pembinaan dan dijangkakan akan siap pada 2011. Beliau ada menyatakan bahawa apabila sesi persekolahan bermula kelak tenaga pengajar akan diperlukan untuk mengajar subjek Bahasa Melayu dan Inggeris. Namun demikian pengajar perlu bermuqim di sana paling kurang sebulan untuk memastikan keberhasilan program.

Lawatan singkat pada petang itu di Ban Sang Kha Ou memberi sedikit gambaran keadaan penduduk di sana. Ini merupakan kawasan yang paling hebat terkena impak tsunami, namun bantuan yang diterima mereka sangat baik, masing-masing mendapat rumah yang selesa berbanding rakyat kita di Malaysia. Dalam keadaan sekarang ada spekulasi tentang penerimaan masyarakat di sana kerana mereka sudah pun hidup selesa jadi kedatangan kami yang agak lewat mungkin tidak dialu-alukan oleh sebahagian dari mereka. Solat kami lakukan dibawah bangunan sekolah bantuan Thailand yang dibina untuk anak-anak masyarakat Chow Ley bersama pesanan yang disampaikan oleh akh Zaidi mengenai kepentingan niat. Setiap perbuatan dan program yang kami lalui tak kira kecil atau besar lama atau sekejap akan pasti diingatkan tentang niat. Mungkin sahaja kami akan jadi bosan dan lali tentang peringatan yang berulang namun niat terletak di lubuk hati yang paling sukar hendak dicapai. Seperti tamsilan semut hitam kecil di atas batu yang hitam di malam yang kelam. Jadi setiap kali terdapat ikhwah mengingatkan, kami sering rasa terpukul kerana kami tidak benar-benar ikhlas. Kami sering selitkan agenda mazmumah dalam hati kami tanpa disedari. Kami sendiri tak pasti adakah jaulah dakwah ke Thailand ini dimulakan dgn niat yang tulus suci kerana Allah.


Semua aktiviti solat, mandi, memasak dan mandi kami lakukan di sekolah tersebut dan pada sebelah malamnya selepas solat isyak kami adakan sedikit halaqah. Bagi penulis, halaqah ini membuka minda dan menyemarakkan iman. Kupasan dan perkongsian buah fikiran dari rakan dakwah antaranya ialah taraf hidup orang Chow Ley. Pada umur yang sangat muda, anak-anak kecil di sana sudah pun pandai mengemudi bot diesel. Kami merasakan pada usia sedemikian mereka sepatutnya di sekolah, belajar mengira dan membaca supaya sedikit sebanyak mereka memiliki kemahiran asas untuk berdepan dengan tuntutan hidup bermasyarakat. Masalah komunikasi juga kami lihat sebagai penyebab utama mesej sukar untuk disampaikan dari kedua-dua belah pihak. Sewajarnyalah bagi para pendakwah yang mahu memanjangkan usaha ke Thailand ini menguasai bahasa peribumi bagi memastikan penerimaan yang lebih baik oleh masyarakat setempat.

Antara komentar yang dinanti-nanti malam itu adalah daripada Haji Amir, beliau seorang yang amat mendalam pemerhatian, bersemangat dalam menerangkan tetapi agak pendiam sepanjang kami bersama. Beliau menyatakan kekaguman beliau bagaimana seorang individu mengubah mentaliti sebuah masyarakat yang amat ortodoks dan sukar menerima pengaruh pihak luar, namun dia berjaya melakukan perubahan yang amat drastik apabila berjaya membina banyak sekolah untuk pendidikan anak-anak di sana. Boleh merujuk laman web ini untuk penerangan lebih lanjut http://www.threecupsoftea.com/. Beliau juga turut menyatakan betapa pentingnya menyediakan lebih ramai pelapis muda kerana mereka menyedari kudrat yang semakin lemah dan usia mereka yang semakin bertambah. Beliau menyatakan kesyukuran kerana kehadiran kami dalam jaulah kali ini, tapi segala pengharapan mereka merupakan sesuatu yang berat untuk dipikul oleh hati-hati yang kerdil seperti kami. Dalam usia tarbiah yang singkat yang diterima kami ini, masih terasa amat berat di dalam dada akan beban dakwah yang perlu digalas. Sedangkan ujian kecil di tanah air sudah hampir-hampir mencantas semangat kami, apatah lagi dunia dakwah yang nyata terbentang dan sarat dengan ujian dan ustaz Wahab masih tetap menyatakan harapan dalam tenang dan dalam paksa.

Antara perkongsian lain ialah peringatan ulangan tentang niat juga menjaga iman kerana kami sudah berada dalam suasana yang amat berbeza dan diselubungi ketidakfahaman tentang aurat dan pergaulan. Juga disentuh mengenai pengorbanan yang tidak bermagnitud yang harus kami hulurkan dalam usaha ini, yang paling utama ialah kesungguhan dan keikhlasan dalam berkorban, Jika tak cinta Allah dan berkorban harta, masa dan tenaga, maka Dia tidak akan teragak-agak untuk menggantikan kaum yang leka ini dengan kaum yg lain. Sungguh Allah tidak akan rugi apa-apa jika kita menarik diri, juga perlu diingat Islam pasti menang tanpa kita atau dengan kita. Allahu

Jaulah ke Thailand, hari pertama (28/5)

Bismillah kami melangkah

Malam menginjak pagi dan sebahagian dari kami menunaikan solat Isyak berjemaah di masjid. Seusai solat semua dipanggil hadir ke mesyuarat bagi membincangkan perkara penting sebelum kami meredah malam menuju ke Koh Lanta. Ustaz Wahab memperkenalkan diri dan rakan-rakan yang bersamanya diikuti dengan yang lainnya. Kata ustaz Wahab kami akan pergi berdakwah kepada sekumpulan penduduk pesisiran pantai yang kata beliau adalah berketurunan Melayu. Mereka lebih dikenali sebagai Orang Laut, dan rantaian jalinan persaudaraan kita orang Melayu dengan mereka sudah bermula ratusan tahun dahulu. Mereka terdiri daripada pejuang-pejuang barisan hadapan dalam menghadapi kemaraan tentera laut kerana taburan populasi mereka yang banyak di kawasan strategik pesisir pantai di seluruh tanah Melayu. Identiti mereka terus kekal sebagai pejuang yang setiakawan, berani dan berhati tabah. Peranan yang mereka mainkan dalam penguasaan sistem beraja di Tanah Melayu amat signifikan. Pejuang-pejuang dari kalangan orang Laut berjaya menjadi penggerak penting terutamanya dari aspek ketenteraan dan armada laut. Tugas umum Orang Laut ialah mengawal kawasan sempadan laut, mengusir lanun-lanun, memimpin para pedagang ke pelabuhan yang ingin mereka tujui dan mengekalkan kekuasaan pelabuhan-pelabuhan tersebut di dalam kawasannya.

Walau bagaimanapun, setiap suku dari kaum Orang Laut telah diberi peranan khas masing-masing oleh Kerajaan Srivijaya, Kesultanan Melaka dan Kesultanan Johor-Riau agar pemerintahan kerajaan berjalan dengan lebih lancar. Antara tugas-tugas khas yang dilakukan oleh setiap suku dari kaum Orang Laut ialah menjadi tentera kerajaan, tukang-tukang kayu, tukang-tukang senjata, pengayuh kapal-kapal perang, penjaga anjing-anjing perburuan dan pembawa surat-surat raja ke negara-negara jiran.

Namun seiring dengan peredaran dan perubahan zaman, jalan sejarah mereka turut berubah sedikit demi sedikit. Apabila Tanah Melayu jatuh ke tangan Portugis dan penguasaan Raja-raja Melayu terkakis, peranan mereka turut surut seiring dengan persahabatan yang pernah terjalin. Di Pulau Pinang, mereka dihalau keluar oleh sang lanun Francis Light yang datang menjajah dan kemudiannya mendakwa dia yang membuka tanah itu. Tidak sedarkah dia atas tanah itu keturunan kita sudah sekian lama beranak pinak, di setiap inci tanah pernah mereka berak dan kencingkan, sudah mereka jarah dan tegakkan penempatan dan tamadun, di segenap kawasan sudah ada denai laluan para pemburu terdiri dari penduduk peribumi. Itu tanah sudah bertanda, tanah pusaka. Di situ orang laut pernah mendiaminya sehinggalah mereka dihalau lalu orang-orang laut di kepulauan-kepulauan sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perlis belayar naik ke utara perairan sehinggalah ke Thailand lalu menetap di sana.

Di Thailand, mereka terpaksa tunduk kepada undang-undang di sana yang sengaja digubal supaya putus hubungkait agama Islam dan bahasa serta budaya Kemelayuan. Mereka dikenakan pelbagai larangan dan sedikit demi sedikit, setelah dua generasi berlalu mereka kini menjadi orang Siam. Ada menjadi Buddha dan Kristian serta yang paling pasti Islam sudah jauh mereka tinggalkan.


Mendengar penerangan tersebut dari Ustaz Wahab kami serta merta dapat menjalinkan perkaitan antara persaudaraan aqidah kami. Kami mesti meletakkan usaha dalam jalan dakwah ini, mengembalikan ruh Islam dalam diri mereka. Namun bila berbicara soal dakwah, terlalu banyak soalan-soalan yang tak terjawab. Malah setiap jawapan yang tersedia memerlukan lebih dari yang sedia ada, dakwah perlukan pendukung, perlukan suatu usaha yang bersungguh-sungguh merangkumi pelbagai pihak dan aspek penting. Apa yang kami lakukan hanyalah cuba membuka denai, untuk dilalui secara perlahan-lahan tanpa ada jaminan yang kukuh akan keberhasilannya. Sekiranya benar dakwah itu mahu didukung, maka kita harus membuka bukan sekadar jalan, malah lebih besar dari itu.

Ustaz Wahab lalu masuk ke agenda perlantikan yang seterusnya. Sepakat kami memilih beliau sebagai Amir program, Haji Amir menjadi Komander Perjalanan, serta Pak Teh mengurusi hal ehwal makanan dan minuman. Setelah selesai, kami singgah sebentar di pekan Dannok, sebuah bandar malam yang dipenuhi ribuan manusia mencari habuan dunia. Di sini kupu-kupu malam beraja, hotel dan arak berleluasa, juga arak serta judi sudah menjadi perkara biasa. Ini pekan yang penuh dengan dosa. pelacuran dan hiburan menjadi nadi utama. Ini Thailand, masih boleh difikirkan logiknya kenapa boleh jadi sampai demikian rupa, tapi di Malaysia perkara serupa juga ada, nah carilah logik untuknya pula. Malu bila difikir-fikirkan.



Pemanduan dari Dannok ke Koh Lanta disambung oleh akh Paley. Konvoi kami ini disertai oleh 14 individu, kenderaan pertama dinaiki oleh Ustaz Wahab, Edi, dan Fuad, yang kedua ialah kami yang terdiri daripada Pak Teh, Paley, Izwan, Salam, Asra, Amri, dan Luqman. Kenderaan terakhir dinaiki oleh Haji Amir, Haji Halim, Pak Ngah dan akh Zuki. Masing-masing memandu dengan laju tapi yang benar-benar menjadi mangsa ialah Asra dan Izwan yang duduk ditempat duduk belakang yang dilambung-lambung apabila kenderaan melalui kawasan tak rata sehingga bertempikan dan bertakbir kerana terlontar keras dari tempat duduk, terkejut dari lena. Kenderaan terus bergerak sehingga tiba di sebuah masjid, kami tak pasti nama tempat itu tapi dimaklumkan oleh Ustaz Wahab dalam bahasa Melayunya berbunyi 'Lembah Air Bukit'. Kami beriktikaf di masjid tersebut sementara menanti subuh tiba dan ada yang curi-curi masa untuk tidur kerana keletihan. Kami solat bersama beberapa penduduk tempatan yang boleh berbahasa Melayu, tetapi dalam loghat Kelantan seperti kebanyakkan penduduk yang berasal dari Pattani.

Selesai solat subuh kami bersembang sebentar bersama mereka dan apabila hari sudah cukup cerah, kami menyambung semula perjalan menuju ke Koh Lanta, Krabi. Di sana nanti kami akan ke perkampungan nelayan yang lebih dikenali sebagai To' Balieu. Kami difahamkan perjalanan ke sana nanti akan menaiki 2 buah feri yang menghubungkan 2 pulau yang berasingan. [bersambung]

Wednesday, June 2, 2010

Lu'lu' wal Marjan (27/5)

Bismillah

Sarapan pagi untuk beberapa hari ni kami beli di gerai makcik di seberang jalan sana. Siap ambil nombor telefon sebab takut nasi habis. Boleh pesan awal-awal, tak payah nak beratur lama. Orang kampung sini setiap pagi mereka akan memandu dengan perlahan merapati birai jalan dan bila sampai di depan gerai tu mereka akan membunyikan hon sambil angkat tangan tunjuk isyarat nak berapa bungkus. Itu kerana mereka memang pelanggan tetap, tapi kami pun belum berani cuba takut nanti tak dilayannya. Segan je.

Hari ini semua orang tasmi' dengan sheikh masing-masing hafalan surah. Semua dah lulus, cuma lain kali tinggal mengulang bacaan sahaja bila diminta. Selesai sesi tasmi' kami cuma tunggu sekejap sebelum beredar kerana pada awalnya nak menumpang kelas Qiraat, tapi gurunya ada hal. Jadi bila tiba di rumah, masing-masing mengemas gua sebab malam nanti kami akan bertolak ke Thailand, di samping itu ikhwah-ikhwah lain akan berusrah di sini, jadi kami mesti kemas elok-elok elak nanti dilabel berperangai hodoh. Kami masak, mengemas, bila tiba waktu zohor kami berjemaah di masjid, sementara akh Paley ke Kangar mengambil pasport berkumpulan kami yang semalam berjaya diproses dengan bantuan Pak Teh. Ajaib sungguh dari 5 hari tempoh siap kepada 1 hari sahaja.

Kebetulan hari ini ada pelawaan dari rakan tahfiz untuk ke majlis tadarus. Mereka ada jemput sehari yang lepas, tapi kami belum buat keputusan sebab masih belum pasti ke mana urusan pasport akan bawa kami. Alhamdulillah oleh sebab dah selesai maka kami jadi ikut mereka. Kami berkonvoi ke Masjid Batu Bertangkup yang baru sahaja disiapkan dan dijadualkan akan dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail selepas solat isyak malam ini. Kami pula diamanahkan mengkhatamkan 30 juzu' Al-Quran oleh sebab itulah rakan tahfiz ajak kami pergi bersama sebab mereka pun kekurangan orang. Kami berenam dan mereka seramai 17 orang. Jadi ada yang dapat satu juzu' dan yang otai dapat 2 juzu'. Asyik membaca tanpa henti dan sesuatu yang aneh kerana kami tak pula rasa keletihan seperti hari-hari biasa. Selalunya baru baca semuka dah berkira-kira bila nak dihentikan bacaan. Memang sungguh tak ternafi lagi mereka memang baca laju, kami yang dapat satu juzu' belum pun habis, yang dapat dua juzu' dah boleh menggeliat. Mereka memang selalu berdamping dengan Al-Quran, jadi wajarlah.

Selepas sedikit makan malam yang dijamu oleh penduduk di sana, kami bergerak pulang dan menunaikan solat Maghrib di Masjid Mukim Mata Ayer. Ada jamuan lagi di sana, kali ini mee hoon dan mempelam harum manis. Sebaik tiba di perkarangan rumah, terdapat ramai ikhwah yang sudah menunggu. Semua barangan dipunggah masuk ke dalam kereta dan kami mula bersalaman diiringi doa-doa dari para ikhwah. Dalam hati kami ada debaran yang tiada henti, terfikir pelbagai persoalan terutamanya mengenai keselamatan kami. Sungguh inilah rasa takut yang Allah campakkan untuk menguji hambanya. Tatkala umat Islam menerima ancaman-ancaman dari kafir Quraisy, kegelisahan dan ketakutan yang dirasakan sangat hebat sehingga mereka merasakan bagai jantung itu direntap-rentap setiap kali ia berdegup sepertinya ia mahu terkeluar dari mulut mereka. Dakwah mereka diburu dengan mata pedang, berlinangan air mata dan diiringi dengan korban nyawa.

Kenderaan kami terus meluncur tak berapa nak laju sebab lebuhraya ke Changlun berombak-ombak dan dengan muatan penumpang yang maksimum, Avanza hijau itu terhenjut-henjut dengan kuat. Kami bertemu dengan kenderaan pertama konvoi di stesen Minyak Caltex di Changlun, Haji Amir dan rakannya Haji Halim serta Pak Ngah. Semangat mereka menjangkaui kudrat dan mengatasi semangat orang muda. Sambil kami tunggu rombongan Ustaz Wahab, kami persiapkan kenderaan, isi minyak dan tambah tekanan angin tayar. Bila Iswara Ustaz Wahab sampai, sedikit diskusi diadakan sebelum bertolak, akan tetapi sebaik sahaja kenderaan bergerak, Haji Amir menyalakan signal kekiri dan berhenti di bahu jalan apabila sedar tayar belakangnya kempis sepenuhnya, hampir sejam kami tunggu bantuan dan cuba selesaikan masalah, puas kami periksa tayar dan pam semula kerana mahu mencari sebarang objek tajam yang menyebabkan tayar bocor, tapi tiada. Akhir sekali sebuah lagi Unser sampai dan meminjamkan tayar ganti, tetapi Haji Amir tak tukar tayar tersebut, sebab dia yakin tayarnya bukan pancit, tapi disabotaj. Memang kami perasan ada sebuah 'pickup' jenis Mitsubishi Triton sedang isi minyak sebelum itu dengan luar biasa lama. Akh Zuki yang hanya memerhati kederaan itu pun terpaksa berkonfrontasi dengan seorang peninjau kenderaan penyeludup minyak tu. Jumlah Minyak yang mereka isi ialah RM1000 lebih. Luar biasa.

Kami terpaksa tinggalkan Haji Amir untuk selesaikan masalah kenderaannya sedang kami perlu bergegas ke Imigresen bukit Kayu Hitam kerana proses keluar masuk kenderaan akan ditamatkan pada pukul 12 malam waktu Malaysia. Proses malam itu amat kalut dan sangat tak menyenangkan, kami tak tahu prosedur yang betul, apa yang mesti diisi, di mana mahu mendapatkan cop pegawai yang berkaitan, semua jadi sangat kelam kabut dan kaunter sebelah Thailand juga hampir ditutup! Akhirnya setelah semua selesai, kami singgah solat di sebuah masjid di sana, di Dannok. '1st glimpse of what are about to come'.

Lu'lu' wal Marjan (26/5)

Bismillah kami melangkah.

Hari ini merupakan hari kedua kami menghadiri kelas tahfiz, masing-masing masih cuba membiasakan diri dengan suasana dan rakan baru. Ruangan kelas yang lapang, hanya ada sebuah meja untuk sheikh, kerusi-kerusi, almari besi lama, meja utk qiraah, karpet merah dan di bilik lain turut ada meja ping pong sekadar menumpang ruangan kelas kerana tiada bilik khas. Ianya cukup 'basic' tapi melangkah kedalamnya memberikan kedamaian. Ini bilik tua, diubah-suai menjadi lebih kondusif dengan menempatkan penghawa dingin dan keping-keping kaca ditukar dengan tingkap cermin yang besar macam pejabat. Otomatik jadi MTQQ yang ter'upgrade'. Ada yang cepat dapat kawan, ada yang dapat sheikh 'sempoi', ada yang sudah disuruh tasmi' esok hari. Sebahagian dari kami memang sudah biasa, tapi sebahagian pula jadi macam budak darjah satu, dapat kenal dunia baru.

Hari ini akh Paley ada cakap Pak Teh mahu berjaulah ke Thailand. Ulang semula, Pak Teh ajak kami ke Thailand! Amboi baru sehari dua berprogram dah berjaulah merentas negara, manakan akh Rais tak cemburu. Tenggelam cerita itu, timbul pula idea mahu menunggang kuda cetusan dari Salam selaku perunding sukan kami. Maka selepas tamat kelas tahfiz kami terus ke Pusat Equin Sg. Batu Pahat di Kangar dengan niat mahu mengaturkan sesi menunggang nanti. Luas tempatnya, Salam macam biasa lebih teruja dari kami semua, cuba jadi pemandu pelancong dengan memberi taklimat tentang dunia kuda. Kuda padi boleh kami jadikan bahan jenaka kerana ia kecil dan comel, tapi kuda baka dari luar negara sungguh tinggi dan besar. Takut ditendangnya sampai melambung macam kata Salam. Akhirnya si jantan Asra juga yang tampil dan berjaya mengusap kuda coklat yang besar tu kemudian barulah yang lain pun turut serta kecuali Amri dan Luqman sebab takut beralasankan kuda itu kalau marah dia akan menggigit. Oh... Kalau begitu tak mengapalah kuda-kuda sekalian, bila kami sudah cukup yakin nanti kami datang tunggang kamu. Hari ini kami pulang dulu.

Akh Paley gesa kami untuk buat passport hari ini juga kerana jaulah ke Thailand tu akan bertolak pada Khamis malam. Agenda seterusnya ialah buat gambar saiz passport di Kangar dan singgah beli nasi Ganja (nasi ayam utara) untuk makan tengah hari. Pukul 230 kami ke bangunan Persekutuan dengan kadar masa yang lebih dari sepatutnya, Asra sang pemandu mengelamun banyak hari ni. Urusan dapat diselesaikan dengan berita baik yang passport tersebut boleh diambil pada esok hari walaupun pada mulanya kami dah keluar pun dari bangunan Persekutuan sebab pihak Imigresen kata 5 hari baru boleh siap. Tapi Pak Teh datang sendiri ke sana dan berurusan dengan pegawai sehingga keajaiban tersebut berlaku. Rupanya tak lah susah sangat kalau nak buat tu, saja-saja dilambatkan.

Solat Asar kami adalah di Masjid Syed Alwi, Kangar. Masjid berpenghawa dingin dan seantik Masjid Sultan Sulaiman di Klang, Selangor. Besi tumpat pemagar pintu juga simen-simen lama dengan reka bentuk silam. Sebelum pulang sempat kami bersalaman dengan Pak Teh yang bersama kami teruja kerana akan dapat berjaulah ke Thailand. Rupanya petang itu cuma kami yang masih berkeliaran di ruangan solat, jamaah lelaki yang lain sudah beredar kerana memberi ruang kepada sekumpulan muslimah yang mahu berprogram. Alhamdulillah, kamu sang puteri bakal menggalas banyak beban dan beruntung kamu berada di kalangan orang yang cintakan ilmu sedang terlalu ramai di luar sana leka dan melekakan, telah rosak dan merosakkan. Hari ini rahmat Allah memayungi ruangan Masjid Syed Alwi dan kami mendapat sedikit daripada teduhannya.


Akh Rais hari ini ada lepak sepetang bersama kami, dia menghabiskan masa dengan bermain catur bersama Amri dan Salam sementara yang lain dengan urusan menyediakan makanan untuk makan malam. Kami masak nasi dan buat air sementara lauk pula kami beli di kedai Oren, UiTM, cuba berjimat sehabis mungkin untuk makanan tapi masih kekalkan makan 3 kali sehari. Akh Rais turut makan malam bersama kami dalam talam setelah lama tidak makan bersama. Maghrib dan Isyak kami iktikaf di Masjid Kubang Gajah dan meneruskan hafalan di antara waktu Maghrib-Isyak tersebut. Jemaah tempatan masjid tersebut rata-ratanya sudah berumur dan hanya ada seorang atau dua sahaja kanak-kanak yang hadir. Wakil dari golongan muda? Hanya kami, untuk tempoh sebulan paling kurang. Selepas itu lengang kembali, tinggal anak-anak ikhwah sahaja yang datang mengimarahkan masjid. Fikir kami, kalau 10 tahun akan datang pelopor tua ini sudah tiada, tinggal cicak dan kelkatu sahaja yang menjadi tetamunya.


Pengisian malam ini berkaitan dengan Kitab Tauhid namun belum menyentuh secara spesifik fasal-fasal di dalamnya. Perbincangan ringan-ringan sahaja, mengenai kepentingan niat dalam amal kami dan beberapa topik yang lain sebagai pembuka minda untuk hari-hari seterusnya. Namun isi penting yang tercatat teguh dalam hati kami ialah soal ujian dari Allah. Ujian pasti akan didatangkan oleh kepada manusia kerana seperti dalam firmannya yang bermaksud:


"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta." Al-Ankabut 69:2-3


Apa yang ditakuti ialah kerana Allah mendatangkan ujian berdasarkan kelemahan manusia itu sendiri. Di situlah saringan Allah, yang tidak dapat dielakkan juga tidak dapat dipalsukan. Ujian mematangkan iman bagi yang berjaya menghadapinya serta melucutkan sebarang kepalsuan yang ada dalam hati. Sebaliknya jika gagal kita mungkin akan menjadi hamba yang kufur pada nikmat, dipenuhi sifat fasiq dan munafiq. Maka hari-hari yang tidak pasti ini kami hanya mampu memohon kepada Allah agar tidak diuji dengan ujian yang tak tertanggung oleh kami dan sekiranya sudah ditakdirkan kami diuji, yang kami harapkan sungguh-sungguh dari Allah ialah agar diberi belas kasihan.


Wallahua'lam

Wednesday, May 26, 2010

Lu'lu' wal Marjan (25/5)

Kami memulakan program cuti semester ini dengan mendaftar sebagai pelajar tahfiz di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTQQ) Yayasan Perlis. Kami akan mengikuti program ini selama sebulan. Hari pertama kami di sini, kami telah diberi pendedahan tentang teknik menghafal Al-Quran dan sesi taaruf bersama pelajar dan sheikh kami. Setiap perkara pasti perlu bermula dengan langkah pertama, dengan perbezaan latar belakang pendidikan kami, target yang relevan untuk kami capai sepanjang tempoh sebulan ini adalah menghafaz juz Amma dahulu. Kadar purata hafalan pelajar diploma Qiraat dari Darul Quran (DQ ada pelajar diploma Qiraat mereka di MTQQ ni) ialah sehelai sehari, 30 juzu' dapat di selesaikan dalam masa 3 tahun. Kata ustaz, itu kalau jadi pelajar tahfiz sepenuh masa, tapi dengan jadual aktiviti kami yang bermacam, nak hafal separuh muka surat pun sakit. Ia merupakan cabaran kepada kami. Rupanya inilah tuntutan jihad, bersungguhan memerah tenaga pada jalan yang diredhaiNya.

Habis hafazan abang tahfiz ajak pergi minum air lima puluh sen. Dia kata mesti kaw punya, turun dari kereta dia sambung lagi "air kat sini kaw punya". Baru duduk dia sambung lagi "nanti kita order yang kaw punya", lepas tu tuan kedai datang dan ambil order "ya dik, air apa?", "milo bang..", "milo kaww ya?!", "ya bang, kaww punya bang". Maka duduklah kami berhimpit-himpit minum minuman yang kaw. Dan sarapan pagi pertama kami juga disitu. Akh Rais dan Salam makan 4 bungkus nasi lemak. Bukan mereka lahap, tetapi memang ternyata sedap, dan nasi lemak 50 sen tu sikit sangat, nasi segenggam saja. Maka berhusnuzanlah ya. Jadi lepas ini kalau ada tetamu dari jauh datang bertamu di Perlis, kami akan ajak pergi kedai kaw. Santap puas-puas dan sedia duit 50 sen banyak-banyak.

 Seterusnya pada jam 10.30 kami menghadiri kelas tajwid yang diajar oleh ustaz Abdullah. Sebagai permulaan kami diajar tentang sifat-sifat huruf. Kata ustaz Lah, sifat huruf ada 17, 10 daripadanya ada lawan, 7 lagi tiada. Yang ada lawan ialah 'Jahar' yakni keluar tanpa angin contoh huruf ialah dzho & dzai, lawannya 'Hamas' yakni berlari angin contohnya shin & sin kata ustaz, kemudian ada 'Ismat' lebih kurang macam melekat bila nak dibunyikan, hurufnya ghain & sod, lawannya 'Izlaq' ringan dibunyikan dan hurufnya ialah fa & ra. Lagi dan lagi ustaz menerangkan. Kami pula angguk dan terus angguk antara sedar dan tidak. Akh Rais ada duduk ditengah-tengah berbaju cekak musang hitam, jadi pelajar sama dengan kami, dia nak tengok suasana sambil mengulangkaji katanya. Kelas berakhir pada jam 11.30 pagi.

Pada sebelah petang ketika mahu solat zohor di Masjid berdekatan tempat kediaman kami, terdapat keranda dan usungan di tengah-tengah ruang solat. Ada jenazah hari ini. Secara tidak langsung kami menyertai upacara pengebumian jenazah sebaik sahaja selesai solat zohor berjemaah. Banyak perkara baru telah kami belajar terutama cara dan adat pengebumian jenazah masyarakat di sini. Seperti jenazah dikebumikan bersama-sama dengan keranda papan, dan keadaan mayat dihadapkan ke arah kiblat dengan menyendal tanah, tidak seperti yang kami pernah saksikan iaitu diiringkan dalam liang yang khas. Juga selepas selesai pengebumian, terdapat khutbah pendek dibacakan. 3 kubur baru, pengebumian yang terbaru ialah yang sekarang kami sedang saksikan. Dalam perjalanan pulang kami berbual-bual sekitar hal ketika di tanah perkuburan tadi. Salam kata dia ada mimpi tengok akh Zuki iring jenazah, hari ni perkara tu terjadi. Sedarlah kami, dan menjadi lebih sedar... bahawa mati itu dekat.



Setelah majlis tersebut selesai kami berkumpul semula di markaz (kami panggil gua saja) dan akh Rais memberikan taklimat ringkas tentang perjalanan program ini. Kami juga telah diberikan jawatan masing-masing seperti ajk makanan, disiplin dan kebersihan. Nasihat abang Rais, pandai-pandai lah jaga diri, ingat semula tujuan kamu hadir ke sini, tajdid niat kamu setiap hari, imbas apa nasihat Pak Teh. Hadis pertama dalam hadis 40, ia adalah tentang niat dan kami semua faham. Ya akh Rais, kami faham, kami mahu jadi pemuda yang berharga seperti bernilainya lu'lu' dan marjan. Ya, kami ingin jadi seperti itu. Doakanlah kami. Bantulah kami. Beri kami bimbingan.
 

Sesi sebelah malam kami menghafaz Al-Quran di masjid antara Maghrib dan Isya’ . Selepas solat Isya’slot malam dipenuhi dengan sesi taaruf yang dikemudi oleh abang Paley. Masing-masing walaupun dah kenal, tapi masih banyak modal nak bercerita, kalah rancangan 'Spontan', bergelak sampai sakit perut. Tapi selingan sahaja, yang penting kami amat selesa bercerita dan bertaaruf. Masing-masing ada pengalaman hidup yang masih baru pada pendengaran kami. Semuanya ada pengajaran. Yang lebih penting, jika kami solat bersebelahan esok, kami sudah lebih kenal saudara kami ini lebih dari sebelumnya! Sesi taaruf pada malam itu ditamatkan pada jam 11.00 malam. Lenalah kami menunggu hari esok menjelma...

Tuesday, May 25, 2010

Bismillah Kami Melangkah


Selepas peperiksaan akhir, ramai siswa-siswi yang mengambil keputusan duduk di rumah atau bekerja untuk mendapatkan pengalaman. Namun, aspek pembinaan dan pendidikan yang akan menyediakan diri mereka pada cabaran akan datang kurang diberi perhatian. Atas premis ini, satu modul dirancang berasaskan kepada gaya pendidikan komprehensif. 

Program Kursus Lu’lu’ wal Marjan ini adalah program julung yang mengetengahkan satu silibus realiti kepada para mahasiswa dengan pelbagai topik serta penekanan pada ilmu dan amal. Program ini dirangka bagi mengasah segala potensi yang ada pada mahasiswa untuk berhadapan dengan realiti hidup masa hadapan yang sebenar ketika membawa obor dakwah menjadi agenda utama dalam kehidupan mereka.


Objektif
  • Menjadi ruang kepada pelajar mendalami pelbagai bidang ilmu dan amal 
  • Mengetengahkan satu silibus berbentuk praktikal yang mencakupi pelbagai aspek agar mampu memperkasakan diri individu menjadi Muslim sejati 
  • Menyediakan kemahiran kritikal apabila berhadapan dengan kehidupan di alam karier
  • Melatih barisan pimpinan mahasiswa dengan ilmu yang sahih berteraskan al-Qur’an dan Sunnah beserta integrasi ilmu cabang pelbagai
  • Menjadikan individu yang menuju aspek ulama-professional dalam kehidupan pada masa akan datang


Butiran

Tarikh: 24 Mei - 24 Jun 2010

Penginapan: Rumah Prof Rushami

Tahfiz: Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTQQ) Yayasan Perlis



Peserta

Nuruddin Salam Bin Mohamed Kassim
Akmal Asra Bin Abdullah
Luqman Hakim Bin Wahi
Muhammad Khairul Amri Bin Abu Bakar
Mohd Izwan Shah Bin Hazir

Murabbi

akh Mohamad Padzli Bin Mohamed Yazit

Naqib

akh Rais
akh Zuki


Mekanisme

Peserta akan diberikan tempat penginapan khas dan kenderaan untuk berulang alik sepanjang aktiviti.

Peserta akan mendapat jadual aktiviti dan program pada setiap minggu. Jadual akan disusun berdasarkan pencapaian dan kesesuaian peserta. Penglibatan peserta dalam setiap aktiviti yang telah dirangka adalah wajib.

Peserta akan tinggal di lokasi dalam masa program dan tidak dibenarkan balik kecuali mempunyai kes kecemasan.


Aspek yang akan ditekankan dalam program:
  • Pengajian Ilmu Islam
  • Penghafalan Al-Quran
  • Aspek Kepimpinan dan Motivasi di kalangan Mahasiswa
  • Kemahiran Am  (membaca, membuat kajian, berniaga dan memasak dsb)
  • Bahasa, komunikasi, pengucapan awam, dll.

Ilmu Islam
  • Penekanan aspek tauhid dalam amalan seharian di samping ilmu yang akan dipelajari dalam kelas
  • Penerapan nilai kajian Pemikiran Sistemik untuk mengintegrasikan ilmu Islam dan sains
  • Mengkaji dan mendalami Fiqh (evolusi, sejarah dan konsep pengamalan untuk difahami)
  • Mengkaji aspek berkaitan Quran dan Sunnah termasuk hafalan, qiraah dan tajwid
  • Menghargai dan mempelajari bahasa Arab
  • Mengintegrasikan segala kemahiran yang dipelajari dalam kursus ini ke dalam pengamalan Islam yang sebenarnya

Kepimpinan dan Motivasi
  • Memahami nilai kepimpinan (menyemak konsep hamba dan khalifah di muka bumi Allah dan realiti semasa dunia)
  • Memahami aspek motivasi (menyemak konsep qadha’ qadar dan kesungguhan dalam Islam)
  • Membudayakan pengurusan masa dan mengurus masa sendiri

Kemurabbian
  • Menghayati ciri-ciri murabbi sebagai ketua, pengurus, ayah, sahabat, guru dan syeikh
  • Tahu bagaimana menyentuh hati mad’u, serta “how to win friends and influence people
  • Pengertian, kepentingan dan carta alir dakwah fardiah
  • Faham pentingnya kedudukan marhalah taasis dlm pembentukan daulah

Kerohanian
  • Pentingnya menghias diri dengan segala sifat mahmudah
  • Menghayati detik-detik malam yang amat berharga
  • Menjadikan Al-Quran sebagai zikr harian
  • Memupuk iltizam dengan zikr-zikr maathurat
  • Menghafal doa-doa yang penting
  • Memupuk iltizam dengan solat jamaah dan mengerti kedudukannya dalam tarbiyyah islamiyyah

Kemahiran am
  • Kemahiran menguasai diri dan mujahadah nafs, buang sikap-sikap yang menghalang kemajuan diri, karier dan yang paling penting karier sebagai da’i profesional
  • Kemahiran Membaca (Menimbulkan Minat dan Speed Reading)
  • Kemahiran Menulis bagi menimbulkan sifat perkongsian ilmu dan aspirasi
  • Kemahiran Membuat Kajian Ringkas bagi menimbulkan budaya ilmu dalam diri
  • Kemahiran Memasak untuk mewujudkan sifat tanggungjawab dan rendah diri
  • Kemahiran berniaga, termasuk di dalamnya aspek mempengaruhi orang, negotiation skills, networking skills, dan pengurusan kewangan yang dapat memupuk budaya keyakinan diri dan mandiri


Kesimpulan

Program ini dirancang untuk melonjakkan potensi yang ada dalam diri mahasiswa yang akan menghadapi hari mendatang dengan persediaan yang mantap.Semoga program ini dapat dijalankan dengan jaya dan diterima oleh Allah.